
Realisme
Aliran Realisme ialah gerakan artistik yang bermula di Perancis pada pertengahan abad ke-19 hingga akhir abad ke-19, selepas Revolusi 1848. Aliran ini lahir sebagai reaksi terhadap prinsip-prinsip Neoklasisisme dan Romantisisme. Contoh pelukis aliran ini ialah Jean-Baptiste-Camille Corot, Édouard Manet, James Jacques Joseph Tissot dan Honoré Daumier.
​
Lukisan yang dihasilkan merupakan gambaran sebenar alam semula jadi atau manusia tanpa tokok tambah. Media yang sering digunakan ialah pensel, pastel, kapur, arang, pen dan dakwat. Teknik yang digunakan pula ialah garisan selari (hatching), silang pangkah (crosshatching) dan gosokan.
​
Kebanyakan pelukis aliran ini menampilkan lukisan bentuk representasi landskap dan kehidupan sebenar. Mereka menggambarkan hal benda yang wujud dalam kehidupan. Terdapat juga hasil karya yang berbentuk sindiran untuk memberikan kesedaran politik dan sosial kepada masyarakat.